Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kepelbagaian Kuih Tradisional Kampung Mujat Cerminkan Warisan Kulinari Bidayuh

By 19 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Barina Nani/Mohamad Farid Izwan (Sarawak)

TEBEDU, 28 Jun (MalaysiaAktif) – Amalan menyediakan kuih keping, kuih cap dan kuih jala mengikut resipi tradisi mencerminkan usaha masyarakat Bidayuh di Kampung Mujat mengekalkan identiti warisan kulinari mereka agar terus dikenali generasi masa depan.

Pembuat kuih keping Francesca Santoi, 48, berkata adunan tepung pulut, kelapa parut kering, gula apong dan air itu kini disediakan sebagai hidangan harian keluarga, berbeza dengan fungsinya suatu ketika dahulu yang hanya dibuat untuk ritual perubatan lama.

“Rasa dan rupa kuih keping ini seakan-akan dinuh yang terkenal dalam masyarakat Orang Ulu, cuma di Kampung Mujat bentuknya sedikit leper, bulat serta menyerupai telinga,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Dahulu katanya kuih ini tidak digoreng menggunakan minyak seperti sekarang, tetapi dibakar di atas bara kayu supaya rangup di luar namun masih kenyal apabila dimakan,” ujarnya.

Seorang penduduk Rogina Ligum, 52, menjelaskan kuih cap pula lebih dikenali dalam kalangan masyarakat setempat sebagai kuih ‘lubang hidung’ disebabkan keunikan bentuknya yang dipenuhi lubang-lubang kecil.

Sementara itu, pembuat kuih jala Zakiah Takor, 54, berkongsi petua bahawa campuran bahan ringkas seperti gula apong dan tepung beras tidak boleh dibiarkan terlalu lama sebelum dimasak bagi mengelakkan hidangan tersebut menjadi berminyak serta hilang keranggupannya.

Penyediaan hidangan tradisional di Kampung Mujat tersebut menjadi lambang kesinambungan budaya bagi memastikan resipi dan warisan kulinari masyarakat Bidayuh kekal hidup merentas generasi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda