Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

KOPKEM Terima Lori Logistik di Bawah Program SCOPE SKM

By 51 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shaik Fikri (Terengganu)

KEMAMAN, 2 Jul (MalaysiaAktif) – Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kemaman (KOPKEM) Berhad menerima sebuah lori sejuk beku menerusi Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi (SCOPE) anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sebagai usaha memperkukuh kecekapan operasi dan memperluaskan kapasiti perniagaannya.

Menurut Pengerusi SKM Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B) bantuan logistik itu membuktikan komitmen SKM dalam memperkasakan koperasi melalui sokongan pembangunan perniagaan yang mampu meningkatkan daya saing dan kecekapan operasi.

“Pemilikan lori ini dijangka dapat mengurangkan kos logistik, memperluaskan rangkaian pengedaran serta memastikan produk sampai kepada pelanggan dalam keadaan terbaik,” katanya pada Majlis Perasmian Penyerahan Lori Logistik di Wisma KOPKEM, Chukai, di sini semalam.

Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia berucap merasmikan Majlis Penyerahan Lori Logistik.

Beliau turut menegaskan bahawa koperasi perlu memanfaatkan teknologi, memperkukuh rantaian bekalan, membangunkan modal insan yang kompeten serta memperluaskan kerjasama strategik dengan sektor awam dan swasta bagi memastikan kelangsungan daya saing.

Tambahnya, dengan tadbir urus yang baik serta penggunaan teknologi secara berkesan, KOPKEM diyakini mampu terus berkembang sebagai koperasi yang mampan dan memberi impak positif kepada ekonomi setempat.

Lori sejuk beku tersebut dijangka menyokong pelbagai aktiviti perniagaan KOPKEM termasuk operasi Ramly Halalmart, perkhidmatan Ar-Rahnu X’Change, perladangan kelapa sawit, Pusat Timbang Sawit (PTS) serta pengedaran baja EMJ.

Turut hadir Pengarah SKM Negeri Terengganu Zaid Abu Bakar dan Pengerusi KOPKEM Berhad Yahaya Mamat.

-RI

Tinggalkan komen anda