Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pegawai Daerah Jamin Setiap Isu Komuniti MADANI Diberi Perhatian

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Rabaayah Sidin/Norieza Ghaffar (Kuala Langat)

KUALA LANGAT, 2 Julai (MalaysiaAktif) – Setiap isu dan permasalahan yang dibangkitkan oleh Komuniti MADANI di daerah ini tidak akan dibiarkan tanpa tindakan, sebaliknya akan diberikan perhatian sewajarnya menerusi kerjasama strategik antara Pejabat Daerah Kuala Langat dengan jabatan dan agensi berkaitan.

Jaminan itu disuarakan Pegawai Daerah Kuala Langat, YM Tengku Rohana Tengku Nawawi ketika Program Sembang Santai Bersama Pengarah Penerangan Negeri Selangor dan Pegawai Daerah Kuala Langat yang berlangsung di Pusat Teknologi Melon Selangor, Telok Datuk, di sini, semalam.

Menurut beliau, setiap pandangan, cadangan dan aduan yang dikemukakan akan diteliti sebelum dibincangkan bersama jabatan berkaitan bagi memastikan penyelesaian terbaik dapat dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk.

“Pintu pejabat saya sentiasa terbuka untuk sebarang bentuk perbincangan sekiranya sesuatu isu itu menghadapi jalan buntu.

“Setiap perkara yang dibangkitkan hari ini akan saya beri perhatian dan akan dibincangkan bersama jabatan yang berkaitan supaya penyelesaian terbaik dapat dicapai,” katanya.

Program Sembang Santai Bersama Pengarah Penerangan Negeri Selangor dan Pegawai Daerah Kuala Langat menjadi medan dialog dua hala bersama Ketua-Ketua Komuniti MADANI yang mengemukakan pelbagai isu berkaitan kemudahan awam, pembangunan setempat dan kesejahteraan masyarakat.

Seorang peserta, Pavithan Sri, 35, menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai satu inisiatif yang amat baik kerana memberi ruang kepada peserta berinteraksi secara lebih dekat dengan kepimpinan jabatan.

Menurutnya, pendekatan santai yang diketengahkan membolehkan mesej serta isu yang dibawa lebih mudah disampaikan, sekali gus mengeratkan hubungan antara komuniti dan agensi kerajaan.

“Program ini sangat baik kerana ia diadakan dalam skala kecil dan mesej yang lebih mudah untuk disampaikan kepada pemimpin jabatan,” katanya.

-AA-

Tinggalkan komen anda