
Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Mohd Hairul (Bomba Beaufort)
BEAUFORT, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Mini Karnival CIMIC Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi platform strategik bagi memperkukuh konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030.
Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Safi Md Lepi berkata penganjuran program ini memberi fokus kepada tujuh teras utama PSPN 2026–2030 merangkumi peningkatan kesiapsiagaan, keupayaan pertahanan, kesejahteraan warga kerja dan veteran serta mengukuhkan kerjasama awam dan tentera.
“Melalui pelbagai pengisian yang dirancang, karnival ini menjadi medium berkesan untuk menyemai semangat patriotisme, memperkukuh daya tahan nasional serta menggalakkan penyertaan aktif seluruh lapisan masyarakat dalam mendukung usaha mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan negara.
“Program ini juga mencerminkan komitmen ATM dalam memperkukuh hubungan antara angkatan tentera dan masyarakat ke arah merealisasikan konsep HANRUH sebagai tonggak pertahanan negara,” katanya selepas merasmikan Mini Karnival CIMIC 2026 Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat di Dataran Bagandang, hari ini.
Tambahnya, keselamatan negara merupakan tanggungjawab bersama antara rakyat dan pasukan keselamatan bergerak seiring memahami tugas dan tanggungjawab untuk melahirkan sebuah negara yang aman dan harmoni.
“Di samping menjadikan masyarakat berdaya tahan dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran. Justeru, ia menjadi medan ATM mendedahkan peranan masyarakat terhadap aspek keselamatan negara.
“Ia juga bukan sekadar satu konsep tetapi merupakan elemen penting sebagai jambatan menghubungkan ATM dengan masyarakat awam, agensi kerajaan dan NGO,” jelasnya.
Menurut Safi, pertahanan negara bermula dengan rakyat yang bersatu hati dan menghargai keamanan yang kita nikmati kerana dengan adanya keselamatan yang terjamin dan kedaulatan negara maka pembangunan ekonomi dapat dinikmati.
“Manfaat penganjuran ini kita kongsi bersama semua lapisan masyarakat dalam memperkukuhkan kepercayaan dan menyemarakkan semangat kebersamaan,” katanya.
Pelbagai pengisian menarik diadakan sepanjang karnival tersebut berlangsung antaranya pameran ketenteraan dan agensi awam, demonstrasi ketenteraan, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma dan Jualan Rahmah Madani.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Klias, Datuk Isnin Aliasnih@Liasnih.
-RJ-




