
Laporan/foto: Philip Johnny (Miri)
MIRI, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Pelancaran Miri Smart City Command Centre (MSCCC) memacu langkah Miri sebagai peneraju pembangunan bandar pintar di Sarawak, sekali gus menjadi pemangkin kepada agenda transformasi digital negeri ke arah ekonomi hijau menjelang 2030.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg berkata pembangunan bandar pintar bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, sebaliknya perlu disokong oleh modal insan yang bersedia menguasai teknologi masa hadapan.
“Teknologi hanya akan memberi manfaat apabila kita mempunyai rakyat yang berkemahiran untuk menggunakannya.
“Sebab itu kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui pendidikan dan latihan supaya anak-anak Sarawak menjadi peneraju ekonomi digital,” katanya ketika melancarkan MSCCC di sini, hari ini.
MSCCC yang beroperasi sepanjang masa berfungsi sebagai pusat kawalan bersepadu bagi memantau keselamatan, mengurus aliran trafik, menyelaras respons kecemasan serta mempercepat pengendalian aduan awam.
Inisiatif tersebut sejajar dengan sasaran kerajaan negeri bagi mewujudkan sehingga 48,750 peluang pekerjaan digital berkemahiran tinggi menjelang 2030, di samping melahirkan tenaga kerja yang mampu bersaing di peringkat global.
Sementara itu, Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang berkata kejayaan sesebuah bandar pintar bergantung kepada keupayaannya meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memelihara kelestarian alam sekitar.
“Teknologi perlu diterjemahkan kepada perkhidmatan yang lebih baik, persekitaran yang lebih selamat dan kehidupan yang lebih berkualiti. Itulah ukuran sebenar kejayaan sebuah bandar pintar,” jelasnya.
Bagi penduduk, Magdline Ujoh, 54, inisiatif kerajaan itu memberi keyakinan bahawa generasi muda akan menikmati lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi tanpa perlu berhijrah ke luar negeri.
“Kami berharap pembangunan ini bukan sahaja menjadikan bandar lebih moden, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada generasi muda serta meningkatkan keselamatan dan kualiti hidup masyarakat,” katanya.
Secara keseluruhan, gabungan pembangunan bandar pintar, pengangkutan hijau dan pelaburan modal insan mencerminkan komitmen berterusan Sarawak dalam membina negeri yang mampan dan berdaya saing.
-RJ-






