
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)
MUKAH, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Usaha memperluas penggunaan teknologi dalam bilik darjah dipergiat apabila dua buah sekolah di daerah ini menerima kemudahan SmartBoard yang dijangka meningkatkan kualiti pembelajaran selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Majlis penyerahan kemudahan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Choon Boon dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, di sini semalam.
Royston berkata teknologi digital kini menjadi keperluan penting bagi memastikan proses pengajaran sentiasa relevan dengan perkembangan semasa, selain membantu murid memahami kandungan dengan lebih mudah menerusi pendekatan visual berbanding kaedah konvensional.
“Teknologi memainkan peranan yang amat penting dalam dunia pendidikan masa kini. Justeru, penyediaan SmartBoard ini diharap dapat membantu guru mempelbagaikan kaedah pengajaran selain meningkatkan minat serta penglibatan aktif pelajar dalam proses pembelajaran,” katanya.
Sementara itu, pihak pengurusan kedua-dua sekolah menyifatkan penyediaan SmartBoard itu sebagai satu nilai tambah yang menyokong pelaksanaan pembelajaran berasaskan teknologi digital.
Inisiatif tersebut katanya dijangka menggalakkan pembelajaran yang lebih interaktif dan membantu sekolah melahirkan generasi celik teknologi yang mampu menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan pada masa hadapan.
-RJ-





