
Laporan/foto: Noornita Ahmad (Seberang Perai Tengah)
PERMATANG PAUH, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat perpaduan dan amalan gaya hidup sihat jelas terserlah menerusi penganjuran Mengkuang MADANI Nature Run 2.0 yang menghimpunkan ratusan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat serta kaum di Masjid Al-Izzah Mengkuang Semarak, di sini semalam.
Program sempena Simfoni Dakwah: Sebarkan Salam itu dimulakan dengan pelepasan peserta oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan.
Menurut Dr. Zulkifli pendekatan yang menggabungkan aktiviti riadah dan sesi perkongsian ilmu mampu memperkukuh keharmonian masyarakat di samping menyemarakkan penghayatan nilai MADANI dalam kehidupan seharian.

Antara pengunjung yang hadir memeriahkan program.
“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi wadah mempererat silaturahim dan menyemai semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.
“Semoga lebih banyak inisiatif seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata penglibatan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan peringkat usia membuktikan semangat kebersamaan terus menjadi asas penting dalam membina komuniti yang bersatu padu serta saling menghormati.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPIEM) Abdul Khudus Mohd Naim serta Ketua Pengarah YaPEIM Zabidi Nasan.
-RI




