
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)
PEKAN, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Penganjuran program Eksplorasi TVET: Hari Terbuka Kolej Komuniti Pekan (KKPP) 2026 menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai laluan pendidikan yang mampu melahirkan tenaga kerja mahir dan memenuhi keperluan industri semasa, kata Datuk Ahmad Rahimi Abdul Samad.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat KKPP berkata, inisiatif itu juga selaras dengan aspirasi memperkasa pembelajaran sepanjang hayat, di samping membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran.
“Usaha seperti ini selari dengan hasrat memperkasa pembelajaran sepanjang hayat dan melahirkan masyarakat berkemahiran tinggi, sekali gus menjadikan program ini sebagai pemangkin pembangunan modal insan di daerah Pekan,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini kelmarin.

Pelajar KKPP turut terlibat dalam aktiviti mewarna poster Eksplorasi TVET secara berkumpulan.
Program berlangsung meriah dengan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat yang turut mengambil peluang mengenali pelbagai program TVET serta kursus kemahiran yang ditawarkan.
Antara kursus pendek yang diperkenalkan ialah Asas Penjagaan Kenderaan bagi Wanita, Komunikasi Berpengaruh, Asas Bahasa Mandarin, Pengurusan Jenazah, Program Animasi (Scratch Edustart), penyediaan makanan Barat serta Asas Pertolongan Cemas.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan termasuk pameran TVET, Road Show Noble Cars Kuantan, Jualan Rahmah serta jualan makanan, kopi dan pastri oleh GIATMARA Pekan.
-RI




