
Laporan/foto: Jemat Saie (Sarawak)
LUNDU, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Pembinaan Jambatan Batang Rambungan sepanjang 560 meter dijangka menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan pelancongan serta peningkatan mobiliti penduduk apabila siap sepenuhnya kelak.
Jambatan tersebut bakal menghubungkan Kuching, Sempadi, Stoh, Rambungan dan Lundu, sekali gus menggantikan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri serta memendekkan masa perjalanan pengguna jalan raya.
Bagi penduduk tempatan Mohamad Afif Suhaili, 30, infrastruktur itu bakal memberi manfaat besar kepada komuniti yang sangat bergantung kepada sektor perikanan dan pertanian sebagai sumber pendapatan.
“Majoriti penduduk di kawasan Sempadi, Stoh, Rambungan dan Lundu bergantung kepada sektor perikanan dan pertanian.
“Dengan adanya jambatan ini, urusan menghantar hasil tangkapan nelayan dan hasil pertanian ke pasaran, khususnya di Kuching, akan menjadi lebih cepat, mudah serta menjimatkan kos,” katanya ketika ditemui, semalam.
Peniaga Chen Boon Sing, 53, pula berpendapat rangkaian jalan yang lebih efisien akan meningkatkan daya saing produk tempatan di samping membuka peluang pasaran lebih luas kepada usahawan.
Menurut Chen, pembukaan jambatan itu turut dijangka merancakkan sektor pelancongan kerana orang ramai tidak lagi perlu menunggu giliran feri untuk menyeberang.
“Perjalanan yang lebih lancar dan pantas akan memudahkan orang ramai berkunjung ke kawasan pesisir yang terkenal dengan pantai serta lokasi rekreasi. “Peningkatan jumlah pelancong akan turut memberi manfaat kepada pengusaha makanan, inap desa, kraf tangan, perkhidmatan rekreasi dan perusahaan kecil,” jelasnya.
Sementara itu, pekerja sektor swasta Syaza Kamilia, 23, berkata jambatan berkenaan memudahkan pergerakan harian penduduk yang bekerja di Kuching tetapi menetap di Lundu dan kawasan sekitar.
“Masa perjalanan yang lebih singkat membolehkan kami berulang-alik pada hari yang sama tanpa bergantung kepada jadual feri. Selain mengurangkan kos perjalanan, kami juga mempunyai lebih banyak masa bersama keluarga,” tambahnya.
Secara keseluruhannya, Jambatan Batang Rambungan bakal memberi limpahan manfaat kepada pelbagai sektor melalui rangkaian pengangkutan cekap yang akan meningkatkan akses pasaran dan menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat di bahagian barat Sarawak.
-RJ-




