
Laporan/ Foto: Charlane A.S/R Fauzi Lahap (Sandakan)
SANDAKAN, 6 Jul (MalaysiaAktif)–Rumah Agnes Keith kekal menjadi antara destinasi pelancongan warisan utama di Sabah yang mencerminkan minat masyarakat terhadap sejarah dan identiti negeri.
Pengarah Jabatan Muzium Sabah, Aldofus Lester John Milip berkata perkembangan itu menjadi pemangkin kepada jabatan berkenaan untuk terus meningkatkan kualiti penyampaian maklumat, pengalaman pelawat serta program pendidikan yang lebih kreatif, interaktif dan inklusif.
“Rumah Agnes Keith tidak dapat dipisahkan daripada sumbangan penulis terkenal, Agnes Newton Keith, yang memperkenalkan keindahan alam, kepelbagaian budaya serta kehidupan masyarakat Borneo Utara kepada masyarakat antarabangsa melalui karya-karyanya.
“Penulisan beliau membuka jendela kepada masyarakat dunia untuk mengenali Sabah dari sudut yang lebih dekat,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Agnes Keith 2026 di Rumah Agnes Keith, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal.
Tambah Aldofus, masyarakat tidak seharusnya melihat warisan sekadar sebagai bangunan lama atau artifak yang dipamerkan di muzium.
“Hakikatnya, warisan ialah memori kolektif yang membentuk jati diri sesebuah masyarakat.
“Tanpa warisan, kita akan kehilangan kisah yang menjelaskan siapa kita, dari mana kita datang dan ke mana kita ingin melangkah,” ujarnya.
Menurut Aldofus, Rumah Agnes Keith merupakan antara khazanah sejarah paling bernilai di Sabah kerana setiap ruang di dalamnya menyimpan kisah kehidupan, ketabahan, persahabatan serta perjalanan sejarah Sandakan yang merentasi pelbagai zaman.
“Jabatan Muzium Sabah akan terus memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan melalui penyelidikan, pendokumentasian serta pendidikan agar sejarah negeri terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang,” tambahnya.
Katanya, Sambutan Hari Agnes Keith dianjurkan bukan sekadar memperingati jasa seorang penulis terkenal yang pernah menetap di Sandakan, tetapi sebagai penghormatan terhadap sejarah yang telah membentuk identiti bandar Sandakan dan negeri Sabah.
Pada majlis itu, Unduk Ngadau Kaamatan Negeri Sabah 2026, Tati Gelvia Jenny dilantik sebagai Duta Muzium bagi membantu mempromosikan warisan, sejarah dan institusi muzium kepada masyarakat, khususnya golongan belia.
-RJ-




