
Laporan/foto: Aziz Karim/Media HMM (Sandakan)
SANDAKAN, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 200 peserta dari dalam dan luar Sabah menyertai HMM Chess Rapid Championship Sandakan yang mempertandingkan enam kategori.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Musa berkata, selain menguji kemahiran pemain mengatur strategi sukan catur berupaya membentuk kekuatan minda serta meningkatkan daya pemikiran kritis.
Jelasnya kejohanan berkenaan mampu menjadi platform untuk mencungkil bakat baru dalam sukan catur tempatan daripada pelbagai lapisan umur dan kategori.
“Kejohanan ini bukan sahaja disertai pemain dari Sandakan dan daerah lain di Sabah malah turut menarik penyertaan peserta dari luar negeri serta luar negara. Terdapat seorang peserta antarabangsa berusia empat tahun yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini.
“Perkembangan ini amat positif dan menunjukkan sukan catur semakin mendapat sambutan daripada pelbagai lapisan umur. Sukan catur memerlukan tenaga fizikal tetapi memerlukan pemikiran yang strategik, keupayaan mengatur langkah dan membuat keputusan dengan tepat menjadikan sukan ini unik serta mencabar,” katanya kepada media selepas merasmikan kejohanan itu semalam.
Mengulas kemungkinan penganjuran kejohanan pada skala lebih besar, Hazem berkata perkara itu akan dipertimbangkan berdasarkan sambutan dan jumlah penyertaan pada masa akan datang.
“Jika penyertaannya terus meningkat, sudah tentu kita akan melihat kemungkinan menganjurkan kejohanan yang lebih besar,” katanya.
Pada pertandingan itu, peserta termuda, pasangan adik beradik mewakili Chinese Taipei iaitu Ho Che-Ming, 4 dan Ho Tse-Ming 5,mencuri tumpuan ramai dan lebih menariknya kedua-duanya bermain dalam Fide Rated.
Che-Ming menduduki tempat ke-116 daripada 125 peserta terbuka dan mencatatkan dua kemenangan daripada sembilan pusingan.
Manakala Tse-Ming pula menduduki tempat ke-119 dan mencatatkan dua kemenangan bagi kategori terbuka.
-RJ-




