
Laporan/foto: Loseyeffer Molly (Bau)/KKMG
BAU, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) menerusi Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) menganjurkan Kursus Pembuatan Kuih Bongkol dan Celorot bagi memastikan warisan kulinari Sarawak terus dipelihara generasi akan datang.
Pegawai Perhubungan Awam KKMG Christi Lemon berkata penganjuran di Dapur PSH institusi itu bukan sekadar usaha memelihara warisan makanan tradisional, malah membuka ruang kepada peserta menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Permintaan terhadap kuih bongkol dan celorot yang semakin meningkat, namun masih terhad penawarannya di pasaran dilihat berpotensi mewujudkan peluang keusahawanan khususnya dalam kalangan komuniti setempat.
“Inisiatif ini sekali gus menyokong pembangunan usahawan mikro berasaskan makanan tradisional, memperkukuh rantaian bekalan produk warisan tempatan serta menyumbang kepada pemeliharaan identiti gastronomi Sarawak,” katanya.
Kursus berkenaan menghimpunkan 13 peserta dari sekitar daerah Bau dan dikendalikan oleh tenaga pengajar Zoraidah Leen dengan dibantu Anita Ajang.
Sementara itu, Anita, 48, berkata kursus tersebut amat penting bagi memelihara resipi asli kedua-dua kuih berkenaan berikutan semakin kurang individu yang memiliki kemahiran menghasilkannya.
“Kuih bongkol dan celorot merupakan antara warisan makanan tradisional yang mempunyai nilai budaya tinggi dan perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman,” jelasnya ketika ditemui, semalam.
Sepanjang kursus berlangsung, peserta didedahkan dengan latihan teori dan amali secara autentik, termasuk teknik penyediaan bahan, cara memasak serta menghasilkan kelongsong daun pisang dan melilit pucuk nipah atau daun kelapa.
Pendekatan praktikal itu membolehkan peserta menguasai setiap proses secara sistematik bagi memastikan keaslian dan nilai estetika kuih tradisional tersebut terus dikekalkan.
Secara keseluruhannya, program itu mencerminkan komitmen berterusan KKMG dalam memperluas akses latihan kemahiran berimpak tinggi, selain berperanan sebagai pemangkin pemeliharaan khazanah budaya kebanggaan Sarawak.
-RJ-




