Skip to main content
Berita TempatanSarawak

AirBorneo Jangka Tawar Tambang Lebih Mampu Milik

By 14 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Alya Sukri/Eddie Allan Blanking (Sarawak)

KUCHING, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Rakyat Sarawak dijangka menikmati tambang penerbangan yang lebih mampu milik apabila AirBorneo bakal memperkenalkan kadar tambang kompetitif bagi laluan Kuching-Kuala Lumpur, sekali gus membantu mengurangkan kos perjalanan udara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata syarikat penerbangan milik negeri itu dijangka membuat pengumuman rasmi sama ada pada minggu depan atau pertengahan Julai ini.

Menurut Abang Johari, tambang yang ditawarkan dijangka sukar ditandingi, selaras dengan komitmen kerajaan negeri menyediakan pilihan pengangkutan udara yang lebih mesra rakyat.

“AirBorneo, insya-Allah minggu depan ataupun pertengahan Julai akan diumumkan. Saya beri sedikit bayangan, tambangnya akan murah bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching seperti yang kita janjikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Peruntukan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sri Satok di Pusat Kebajikan Datuk Amar Hajah Jumaani, semalam.

Tambah beliau, harga tiket yang ditawarkan turut merangkumi bagasi berdaftar dan hidangan dalam penerbangan tanpa sebarang caj tambahan.

“Bagasi sudah termasuk. Tidak ada lagi caj tambahan untuk bagasi, termasuk juga hidangan dalam penerbangan. Semuanya sudah termasuk dalam harga tersebut,” jelasnya.

Pelaksanaan inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada pelbagai golongan termasuk pelajar, pekerja, penjawat awam dan keluarga yang kerap berulang-alik antara Kuching dan Kuala Lumpur, terutama ketika musim perayaan serta cuti sekolah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda