Skip to main content
Berita TempatanSabah

Insentif Pendidikan Pacu Kecemerlangan Pelajar Luar Bandar

By 8 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Mohd Faizizi Maidin (Beaufort)

BEAUFORT, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Inisiatif pemberian Insentif Pendidikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang diperkenalkan sejak 2022 terus menjadi pemangkin kecemerlangan akademik pelajar luar bandar.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata maklum balas daripada pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan menunjukkan pencapaian pelajar khususnya di kawasan luar bandar semakin memberangsangkan sejak insentif itu diperkenalkan.

“Apabila kita memberi penghargaan kepada usaha dan pencapaian pelajar, ia menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.

“Alhamdulillah kita melihat peningkatan prestasi yang membanggakan di sekolah-sekolah di daerah ini khususnya Lumadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Insentif Pendidikan kepada Pelajar Cemerlang SPM dan STPM 2025 di Bilik Mesyuarat Pejabat ADUN  Lumadan, Bandar Mingo, kelmarin.

Pada majlis itu, Ruslan menyampaikan insentif kepada lima pelajar cemerlang Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dari SMK Weston, manakala penyampaian kepada 11 lagi pelajar cemerlang STPM dari SMK Gadong dijadualkan pada 11 Julai ini.

Bagi peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2025 pula, seramai 41 pelajar cemerlang dari SMK Weston, SMK Gadong dan SMK Beaufort III menerima insentif berkenaan sebagai penghargaan atas pencapaian akademik mereka.

Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan menambah, usaha memperkukuh pendidikan akan terus dipertingkatkan melalui penambahbaikan kemudahan pembelajaran.

“Ini termasuk penyediaan capaian internet yang lebih baik, persekitaran pembelajaran kondusif terutama di sekolah yang sering terjejas akibat banjir, selain memperkukuh penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kemahiran digital.

“Usaha ini penting bagi memastikan pelajar luar bandar tidak ketinggalan dan mampu bersaing dengan rakan sebaya di kawasan lain.

“Saya berharap program insentif pendidikan itu akan terus menjadi pemangkin kepada peningkatan pencapaian akademik sekali gus melahirkan lebih ramai modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara,” ujarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda