
Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan (Sarawak)
SEBUYAU, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Perasmian mercu tanda baharu Jambatan Batang Lupar 1 hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting pembangunan infrastruktur negeri yang bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan, malah merangsang aktiviti ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Pembukaan jambatan tersebut kepada awam sejak 21 Mei lalu nyata menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi di Sebuyau dan kawasan sekitarnya dengan memberi limpahan manfaat terus kepada peniaga, usahawan serta komuniti setempat.
Bagi penjaja Aini Rajali, 58, perubahan paling ketara yang dirasai ialah pertambahan pelanggan sejak kemudahan tersebut dibuka kepada pengguna jalan raya.
“Saya bersyukur kerana semakin ramai singgah membeli makanan dan minuman. Kalau dahulu tidak seramai sekarang, tetapi kini jualan semakin memberangsangkan dan pendapatan harian kami juga meningkat,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini.
Dayang Junaida Ramli, 49, pula menyifatkan infrastruktur itu bukan sekadar memudahkan perjalanan, malah membuka peluang kepada penduduk untuk memasarkan produk tempatan.
“Ramai pengguna jambatan berhenti membeli hasil dan produk kampung. Ini memberi peluang kepada kami menambah pendapatan serta memperkenalkan produk tempatan kepada orang luar,” katanya.
Sementara itu, pekerja stesen minyak Jack Jones, 42, turut merasai limpahan manfaat apabila menyaksikan sendiri pertambahan jumlah kenderaan setiap hari.
“Setiap hari kami menerima lebih ramai pelanggan dari dalam dan luar kawasan yang singgah mengisi minyak. Keadaan ini jelas menunjukkan aktiviti ekonomi di sekitar kawasan ini semakin rancak,” jelasnya ketika ditemui.
Secara keseluruhannya, kelancaran aliran trafik yang semakin meningkat membolehkan penduduk menikmati lebih banyak peluang menjana pendapatan sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam membawa pembangunan bermakna kepada rakyat.
-RJ-




