Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

PRN Johor: PDRM Johor Terima 4,368 Permohonan Permit Kempen, 4,053 Diluluskan

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/JAPEN

JOHOR BAHRU, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Polis telah meluluskan sebanyak 4,053 daripada 4,368 permohonan permit bagi ceramah dan aktiviti kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi tempoh 27 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata semua program dan aktiviti politik yang diadakan dipantau oleh PDRM bagi memastikan penganjur mematuhi undang-undang serta tidak menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata sebanyak 17 laporan polis diterima dan empat kertas siasatan dibuka berkaitan kesalahan pilihan raya sepanjang dua hari lepas.

“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan.

“Selain itu, satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan fitnah serta penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian, manakala dua lagi di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat sehingga menyebabkan kerugian harta benda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata secara keseluruhannya, bagi tempoh 27 Jun hingga 8 Julai, pihaknya telah menerima 73 laporan polis dan membuka 22 kertas siasatan berkaitan kesalahan pilihan raya.

Ab Rahaman berkata situasi keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang proses PRN Johor Ke-16 kekal terkawal dan berada pada tahap yang baik.

-RI

Tinggalkan komen anda