
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Facebook Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor
JOHOR BAHRU, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan 155 warga asing dalam Op Bersama yang dijalankan di sekitar Pasar Borong Pandan, di sini kelmarin.
Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata turut ditahan ialah dua warga tempatan yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis.
“Warga asing yang ditahan melibatkan 56 lelaki warga Indonesia, 39 lelaki warga Myanmar, 35 lelaki warga Bangladesh, 10 lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Vietnam, seorang lelaki warga China, seorang kanak-kanak lelaki warga Myanmar, lima wanita dewasa warga Myanmar serta seorang wanita dewasa warga Vietnam.
“Mereka yang dipercayai bekerja atau berada sebagai pelanggan di premis berkenaan berusia antara 10 hingga 49 tahun,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata kesemua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi membantu siasatan lanjut.
Operasi penguatkuasaan berskala besar yang dilaksanakan secara serentak itu menyasarkan beberapa premis yang dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan oleh warga asing.
-RI




