
Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)/Media MBNS
SEREMBAN, 10 Jul (MalaysiAktif) – Kerajaan Negeri Sembilan memperuntukkan geran khas berjumlah RM342,000 kepada 342 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negeri bagi memperkukuh perpaduan dan memperkasa pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
Menteri Besar Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata geran tersebut merupakan pelaburan sosial yang mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap peranan KRT dalam membangunkan masyarakat.
“Geran yang disampaikan pada hari ini merupakan manifestasi keyakinan kerajaan negeri terhadap keupayaan dan kredibiliti kepimpinan KRT dalam merancang serta melaksanakan program-program yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Geran Khas Kepada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Tahun 2026 Peringkat Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini semalam.
Beliau berharap semua jawatankuasa KRT dapat memanfaatkan geran tersebut secara amanah, berhemah dan telus bagi melaksanakan program yang memberi impak positif kepada komuniti.
Sehingga kini, sebanyak 342 KRT aktif di seluruh Negeri Sembilan menerusi penglibatan Jiran Wanita, Jiran Muda, Jiran Warga Emas dan Tunas Jiran dalam memperkukuh perpaduan serta kesejahteraan komuniti.
Turut hadir Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan Datuk Hajah Tengku Zamrah Tengku Sulaiman.
-RI




