
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Instagram Mais_officialhq
SHAH ALAM, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjelaskan kebenaran pelaksanaan solat Jumaat di Musolla IOI City Mall, Putrajaya hanya bersifat sementara.
Pengerusi MAIS Datuk Salehuddin Saidin berkata kebenaran tersebut akan terhenti sekiranya masjid baharu berhampiran premis tersebut telah dibina dan mampu memenuhi keperluan jemaah dan pekerja di situ untuk mendirikan solat Jumaat.
“Kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau berkenaan telah diberikan bermula 6 Sept 2024. Ia telah diputuskan oleh MAIS melalui Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) melalui perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
“Pemeriksaan dan penelitian di lokasi mendapati premis tersebut mempunyai ramai kakitangan dan pekerja lelaki beragama Islam di samping menerima pengunjung termasuk dari kalangan lelaki beragama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salehuddin berkata pengunjung dan pekerja lelaki di premis berkenaan berhadapan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat memandangkan kedudukan masjid yang agak jauh dari premis tersebut.
Beliau berkata masjid terdekat ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda dan Masjid Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang yang masing-masing terletak kira-kira 7.6 serta 7.7 kilometer.
Kedua-dua masjid itu katanya tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai, sekali gus memerlukan penyelesaian sementara demi memenuhi keperluan umat Islam.
Beliau berkata MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan solat Jumaat dilaksanakan secara teratur, mematuhi hukum syarak serta peruntukan undang-undang.
-RI




