
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SUBANG JAYA, 12 Jul (MalaysiaAktif) – PETRONAS melaksanakan Latih Amal Emergency Response Exercise (ERE) Selangor siri ke-10 semalam melibatkan penduduk Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru bagi menguji tahap kesiapsiagaan komuniti serta penyelarasan tindakan agensi berkaitan sekiranya berlaku insiden kebocoran paip gas.
Latihan itu merupakan siri ke-10 yang dilaksanakan sejak kejadian letupan paip gas di Putra Heights dan memfokuskan kepada simulasi kebocoran paip gas bagi menguji kecekapan prosedur pemindahan penduduk serta penyelarasan tindakan agensi berkaitan.
Program itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan bagi memastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi ketika berdepan situasi kecemasan.
Ketua Penolong Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Arjunaidi Ismail berkata kerjasama erat antara semua pihak adalah kunci utama bagi memastikan keselamatan komuniti terjamin, mengambil pengajaran daripada insiden letupan yang berlaku pada 1 April tahun lepas.
Menurutnya, program latih amal yang dilaksanakan merupakan siri ke-10 dan disifatkan paling istimewa kerana melibatkan interaksi langsung antara agensi penyelamat dengan penduduk yang terjejas teruk dalam kejadian tersebut.
“Kejadian yang berlaku itu sangat dahsyat. Keperluan untuk kita bertindak mengikut peranan masing-masing sama ada pihak agensi mahupun penduduk yang terjejas adalah amat penting kerana kesan paling jelas dan teruk selalunya dilihat pada komuniti itu sendiri.
“Walaupun latihan hari ini diadakan pada hari Sabtu untuk memudahkan kehadiran ramai, kita harus ingat bahawa bencana sebenar tidak mengira masa. Ia boleh berlaku pada hari bekerja, waktu persekolahan, mahupun pada waktu malam yang tidak kita jangkakan,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Latih Amal EX-Putra di Sekolah Menengah Kebangsaan USJ23, di sini, semalam.
Beliau berkata persediaan tidak boleh terhad kepada senario letupan sahaja, sebaliknya perlu merangkumi pelbagai impak rantaian lain yang lebih jauh dan sukar diramal.
Katanya, usaha menambah baik keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak industri semata-mata, tetapi menuntut pendekatan terbaik daripada seluruh lapisan masyarakat.
“Insiden ini boleh berlaku dalam pelbagai sudut dan ketika. Justeru, saya amat mengharapkan kita semua dapat sentiasa bekerjasama dan mengemas kini pengetahuan serta kemahiran keselamatan demi kehidupan yang lebih aman. Paling penting, kita jaga kita,” ujarnya.
-AA-




