
Laporan/foto: Khairul Othman (Negeri Sembilan)
PORT DICKSON, 13 Jul (MalaysiAktif) – Pembinaan sebuah negara yang kukuh tidak hanya bergantung kepada dasar yang dirangka oleh kerajaan, malah memerlukan penghayatan nilai kenegaraan, semangat perpaduan dan rasa tanggungjawab dalam kalangan rakyat, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
“Usaha memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat menerusi program berteraskan komuniti seperti Program MADANI KITA mampu meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap agenda pembangunan negara di samping menyemai nilai kebersamaan, kecintaan kepada tanah air dan semangat patriotisme,” katanya.

Peserta Program MADANI KITA.
Beliau berkata demikian pada Program MADANI KITA anjuran Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) yang berlangsung di Dewan Orang Ramai Linggi, di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood.
Program MADANI KITA merupakan antara inisiatif Akademi Kenegaraan Malaysia dalam memperluaskan penghayatan nilai kenegaraan dan memperkasakan perpaduan rakyat sebagai asas kepada pembinaan sebuah Malaysia yang maju, bersatu dan sejahtera.
Pelbagai pengisian diadakan sepanjang program termasuk sesi perkongsian ilmu, interaksi bersama komuniti serta aktiviti kemasyarakatan yang bertujuan memperkasa penghayatan nilai Malaysia MADANI dan memperkukuh jati diri rakyat.
-RI





