Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Bantuan Lesen Memandu B2 Luas Akses Penduduk Pedalaman

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jua Daud (Telang Usan)

LONG LAMA, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Program Bantuan Lesen Memandu Motosikal Kelas B2 terus memberi manfaat dengan membuka peluang kepada masyarakat pedalaman Telang Usan memiliki lesen memandu sah, sekali gus meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau berkata, inisiatif itu bukan sahaja memudahkan urusan penduduk, malah menggalakkan pematuhan undang-undang jalan raya dalam kalangan penunggang motosikal.

“Komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta amat membanggakan. Kesanggupan mereka menempuh perjalanan antara lima hingga lapan jam dari kampung masing-masing membuktikan betapa pentingnya peluang untuk mendapatkan lesen memandu secara sah,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Dewan SJKC Kee Tee, semalam.

Menurut Dennis, penganjuran program pada hari Ahad dibuat bagi menyesuaikan jadual operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang padat, selain memudahkan penyertaan penduduk dari kawasan pedalaman.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPJ dan pelbagai agensi kerajaan atas kerjasama menjayakan program tersebut dalam usaha membawa perkhidmatan lebih dekat kepada masyarakat luar bandar.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua peserta supaya mematuhi peraturan jalan raya dengan memakai topi keledar, memastikan lesen diperbaharui sebelum tamat tempoh serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Dennis turut berharap Program Bantuan Lesen Memandu B2 tersebut dapat diperluaskan ke Long San dan Long Bedian pada masa hadapan supaya lebih ramai penduduk di kawasan berkenaan menikmati kemudahan sama.

-RJ-

Tinggalkan komen anda