
Laporan/foto: Najib Juanis (Papar)
PAPAR, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Umat Islam diseru menjadikan peristiwa hijrah Rasulullah SAW sebagai inspirasi untuk melakukan perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik selaras dengan aspirasi untuk membina masyarakat yang bersatu, harmoni dan progresif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifudin Pengiran Tahir Petra berkata selain memperingati sejarah nilai hijrah perlu diterjemahkan melalui usaha memperkukuh perpaduan, semangat saling membantu dan keharmonian dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Kita perlu bersama-sama memelihara keharmonian yang sekian lama menjadi kekuatan daerah ini. Mudah-mudahan dengan kesatuan hati dan usaha yang berterusan, Papar akan terus maju, sejahtera serta diberkati.
“Sambutan ini juga diharap dapat menyemai semangat hijrah dalam diri setiap individu agar terus berusaha membentuk masyarakat yang berakhlak mulia, bersatu padu dan sentiasa menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara. katanya ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Papar,” baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Badan Dakwah Daerah Papar, Muhammad Mohd Ali berharap setiap pengiktirafan dan anugerah Maal Hijrah akan memandu masyarakat untuk bersikap lebih berdedikasi termasuk penjawat awam dalam memastikan agenda pembangunan terlaksana.
“Kehadiran pemimpin negeri pada majlis ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengimarahkan program keagamaan serta memperkukuh syiar Islam sementara sambutan Maal Hijrah tahun ini lebih bermakna apabila dua Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 2026 berasal dari daerah Papar.
“Kedua-dua tokoh merupakan pesara pegawai kanan perkhidmatan awam negeri Sabah. Pengiktirafan ini menjadi kebanggaan warga Papar serta penanda aras untuk kita terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam memastikan segala program dan agenda pembangunan kerajaan di daerah ini dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.
Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Papar yang bertemakan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati” itu turut diserikan dengan ceramah khas yang disampaikan Pengarah Dakwah Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Ustaz Rafaie Enarji, selain persembahan qasidah oleh Kumpulan Ar Raudah.
-RJ-




