
Laporan/foto: Mohamed Fazri Yusri (Miri)
MIRI, 12 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Ulang Tahun Ke-42 Penubuhan Surau Sinar Islam Kampung Pulau Melayu disemarakkan menerusi penganjuran Program Lan Riadah Bersama Kariah 2026 yang menghimpunkan ahli kariah dan penduduk setempat berteraskan semangat kebersamaan.
Pengerusi Surau Sinar Islam Affendi Soon berkata, program bertemakan ‘Sujud Kita Satu, Ukhuwah Kita Utuh’ itu bukan sekadar memperingati sejarah penubuhan, malah menjadi medan menghimpunkan masyarakat dalam suasana harmoni.
“Sambutan ini menjadi ruang yang penting untuk mengeratkan ukhuwah serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat setempat.
“Kami berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penyertaan yang lebih meluas agar institusi surau terus berperanan sebagai pusat penyatuan ummah, pembangunan komuniti dan pengimarahan aktiviti kemasyarakatan,” katanya ketika ditemui.
Bagi merealisasikan hasrat itu, Program anjuran Jawatankuasa Pengurusan (JKP) Surau Sinar Islam berkenaan dipadatkan dengan pelbagai pengisian menarik seperti Fun Walk sekitar kampung, pertandingan dart, karom, catur serta bengkel memanah tradisional.
Turut memeriahkan suasana adalah gerai jualan usahawan tempatan dan persembahan seni mempertahankan diri oleh Amura Karate Sarawak melibatkan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Anchi serta SK Pulau Melayu.
Bagi menambah kemeriahan, pengunjung turut menyaksikan tayangan siaran langsung Perlawanan Akhir Piala Dunia FIFA 2026 beramai-ramai dalam suasana muhibah sebelum program diteruskan dengan solat Zohor berjemaah dan sesi tazkirah sebagai pengisian rohani.
Secara keseluruhannya, inisiatif berkenaan membuktikan institusi surau bukan sahaja berfungsi sebagai tempat beribadah, malah berkesan sebagai pusat penyatuan komuniti yang menggabungkan elemen riadah, keusahawanan dan kerohanian demi membentuk masyarakat harmoni.
-RJ-




