
Laporan/foto: Hamidah Len/DBKK(Sabah)
KOTA KINABALU, 13 Jul (MalaysiaAktif)– Aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya pintar dan rendah karbon hanya mampu direalisasikan sekiranya usaha memelihara alam sekitar disokong penyertaan aktif masyarakat, bukan digalas pihak berkuasa tempatan semata-mata.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sri Dr. Sabin Samitah berkata cabaran pembangunan bandar hari ini semakin kompleks apabila perubahan iklim, peningkatan sisa pepejal dan penggunaan sumber yang semakin tinggi menuntut pendekatan lebih menyeluruh.
“Pembangunan bandar masa kini tidak lagi boleh diukur semata-mata melalui pertumbuhan fizikal atau kemajuan teknologi, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana masyarakat mengamalkan budaya lestari dalam kehidupan seharian.
“Penggunaan sumber secara berhemah, penghijauan kawasan persekitaran dan penerapan teknologi hijau merupakan antara langkah yang mampu meningkatkan kesejahteraan masyarakat serta menjamin kelangsungan pembangunan bandar raya,” katanya ketika merasmikan Karnival KK Greenovation 2026, baru-baru ini.
Menurutnya, karnival tersebut mendidik masyarakat melalui pengalaman dan penyertaan secara langsung yang memupuk kesedaran bahawa pemeliharaan alam sekitar bermula daripada tindakan kecil yang dilakukan secara konsisten
“Aktiviti seperti Green Footprint Tree Planting, pameran teknologi hijau, demonstrasi Internet of Things (IoT), Green Footprint TikTok Challenge, Green Tech Explorer, pertandingan mewarna, pertandingan Jingle AI serta pelbagai bengkel pendidikan memberi peluang kepada masyarakat daripada pelbagai lapisan umur untuk mengenali dan menghayati peranan inovasi dalam kehidupan seharian.
“Kesemua aktiviti ini membawa mesej bahawa pemeliharaan alam sekitar bermula daripada tindakan yang berterusan.
“Aspirasi Kota Kinabalu sebagai Bandar Pintar, Bandar Rendah Karbon serta Bandar Mesra Kanak-Kanak dan Warga Emas hanya mampu direalisasikan sekiranya usaha tersebut diterjemahkan kepada tindakan di peringkat komuniti,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan penyertaan aktif golongan kanak-kanak dan belia dalam karnival itu sebagai petanda positif kerana kelompok berkenaan bakal menjadi pewaris agenda pembangunan bandar raya pada masa hadapan.
-RJ-




