Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Kebersihan Masjid Tanggungjawab Bersama

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nur Syahida (Yan)

YAN, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Memelihara kebersihan dan kesucian masjid merupakan satu tuntutan dan tanggungjawab bersama yang menuntut keprihatinan berterusan daripada segenap lapisan umat.

Imam Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan Ismail Sain berkata usaha memelihara kebersihan masjid perlu dijadikan amalan berterusan oleh seluruh masyarakat kerana rumah ibadah merupakan tempat yang perlu sentiasa dipelihara kesuciannya.

“Saya menyeru seluruh masyarakat agar bersama-sama menjaga kebersihan masjid dan terus mengeratkan hubungan silaturahim melalui aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong.

Ahli PUSPANITA Cawangan Kecil Daerah Yan yang turut hadir menjayakan Program Gotong-Royong Membersihkan Masjid Terapung Daerah Yan.

“Semangat kerjasama yang ditunjukkan hari ini wajar diteruskan demi manfaat bersama,” katanya pada Program Gotong-Royong Membersihkan Masjid Terapung Daerah Yan, semalam.

Seramai 50 peserta menyertai program yang diadakan sebagai persediaan pembukaan penuh operasi masjid itu pada 17 Julai ini.

Program tersebut merupakan hasil kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Yan, Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) Masjid Jame’ Badlishah Pekan Yan, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Cawangan Kecil Daerah Yan, Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Tahfiz Al-Furqon Kampung Raga, Majlis Daerah Yan dan Ahli Jawatankuasa Masjid Terapung Daerah Yan.

Program gotong-royong itu bukan sahaja mencerminkan semangat kesukarelawanan dan perpaduan komuniti, malah memperkukuh jalinan kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan institusi pendidikan dalam memelihara kemudahan awam demi kesejahteraan bersama.

-RI

Tinggalkan komen anda