
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 21 Ketua Isi Rumah (KIR) berstatus miskin dalam sistem eKasih di daerah Lingga dan Pantu menerima bantuan peralatan ekonomi bernilai keseluruhan RM105,000 menerusi Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI), semalam.
Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata, inisiatif di bawah Skop Peningkatan Pendapatan Tahun 2026 itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa golongan sasar menjana pendapatan secara mampan.
“Pendekatan ini bukan sekadar memberi bantuan, tetapi membina keupayaan Ketua Isi Rumah untuk berdikari dan meningkatkan taraf hidup.
“Ia mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan tiada golongan masyarakat tercicir daripada arus pembangunan ekonomi negara,” katanya ketika menyempurnakan penyerahan bantuan tersebut di Dewan Suarah Sri Aman, di sini.
Menerusi program tersebut, seramai 16 KIR menerima bantuan peralatan perikanan melibatkan 10 penerima dari Lingga dan enam dari Pantu, manakala lima lagi menerima mesin rumput (dua dari Lingga, tiga dari Pantu).
Setiap penerima mendapat bantuan peralatan yang bernilai RM5,000 secara sekali bayar (one-off).
Dalam pada itu, Mahra berkata Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak akan melaksanakan pemantauan berkala bagi menilai keberkesanan program terhadap peningkatan pendapatan peserta serta memastikan ia memberi impak jangka panjang.
Menurut beliau, statistik eKasih sehingga 1 Julai 2026 merekodkan 653 individu dalam kategori miskin di Bahagian Sri Aman dengan daerah Lubok Antu mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 278 orang, diikuti Sri Aman (187), Lingga (111) dan Pantu (77).
Hadir sama, Pegawai Pembangunan Zon Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Radiah Muhamad, Pemangku Pegawai Daerah Lingga Josephson Louis Nako serta wakil Pejabat Daerah Pantu dan ketua-ketua kampung.
-RJ-




