
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SHAH ALAM, 14 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor menerusi Wanita Berdaya Selangor (WBS) melancarkan Program Insentif Digital Media Usahawanita Muda (USAHANITA DIGITAL) 2026 bagi memperkasa usahawan wanita melalui pendigitalan perniagaan.
Program yang memasuki tahun ketiga pelaksanaannya itu bertujuan meningkatkan keupayaan digital, pembangunan kapasiti perniagaan serta kesiapsiagaan peserta menembusi pasaran antarabangsa secara lebih berdaya saing dan mampan.
Sejak diperkenalkan pada 2024, USAHANITA DIGITAL berjaya melahirkan seramai 230 alumni daripada dua kohort terdahulu yang kini terus mengembangkan perniagaan masing-masing dalam pelbagai sektor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Negeri Selangor Anfaal Saari berkata pelaksanaan tahun ini memperkenalkan modul eksport buat kali pertama bagi membantu usahawan bersedia memasuki pasaran global.
“USAHANITA DIGITAL bukan sekadar meningkatkan kemahiran pendigitalan usahawan wanita, malah menjadi platform strategik melahirkan usahawan yang berdaya saing, inovatif dan bersedia menembusi pasaran antarabangsa,” katanya ketika majlis pelancaran di sini hari ini.

Anfaal bergambar bersama para hadirin dan usahawan wanita Selangor selepas melancarkan USAHANITA DIGITAL 2026.
Menurut beliau, modul eksport memberi penekanan terhadap strategi penembusan pasaran global, pematuhan piawaian antarabangsa, kesiapsiagaan operasi serta pembangunan jenama yang mampu bersaing di peringkat dunia.
Beliau berkata sambutan terhadap Kohort Tiga amat menggalakkan apabila sebanyak 131 permohonan diterima dari seluruh Selangor sebelum 117 peserta dipilih melalui proses saringan ketat.
“Kerjasama bersama HIJRAH, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), SME Corp Malaysia dan Perbadanan Jaminan Kredit Malaysia (CGC) membuka lebih banyak peluang kepada peserta mendapatkan pembiayaan, bimbingan pakar serta akses pasaran yang lebih luas.
“Kerajaan Negeri Selangor kekal komited memperkasa usahawan wanita sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri, sekali gus memastikan mereka mempunyai ruang dan sokongan berterusan untuk meneroka pasaran baharu demi kemakmuran bersama,” ujarnya.
Selain menyertai Bazar Techno dan sesi pitching, peserta turut berpeluang merebut pengiktirafan menerusi Majlis Anugerah Ikon Usahanita Digital serta insentif padanan pembiayaan.
-RI





