
Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Jabatan Imigresen Malaysia
JOHOR BAHRU, 15 Jul (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 153 warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi khas berskala besar yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negeri, kelmarin.
Pengarahnya Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, berkata operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan bersama semua cawangan penguatkuasaan daerah itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan rapi bagi membanteras penyalahgunaan kemudahan imigresen, termasuk aktiviti perniagaan tanpa kebenaran.
Beliau berkata pemeriksaan menyeluruh dilakukan di premis yang disyaki menggaji atau dikendalikan warga asing secara menyalahi undang-undang, dengan tindakan diambil terhadap individu yang didapati menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
“Tiada ruang atau kompromi akan diberikan kepada mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara untuk menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan semalam.
Mohd Rusdi berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 21 lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Nepal, 31 lelaki warga Bangladesh, 57 lelaki warga Indonesia, dua lelaki warga India, 10 lelaki warga Pakistan, 10 wanita warga Myanmar dan 21 wanita warga Indonesia, berusia antara 19 hingga 51 tahun.
Katanya, kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
-RI





