
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Dungun)/Pusat Koreksional Dungun
DUNGUN, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Program Bicara Keselamatan Pemantapan Perkhidmatan Awam anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu menjadi platform penting dalam mengeratkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan di samping meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi cabaran keselamatan semasa bagi memperkukuh budaya keselamatan, integriti serta semangat kenegaraan.
Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kemaman Mohd Fadhil Adnan dalam ceramah bertajuk Integriti Dalam Perkhidmatan Awam, berkata pentingnya pembudayaan integriti, tadbir urus yang baik serta tanggungjawab penjawat awam dalam membanteras amalan rasuah.
“Penjawat awam perlu memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat patriotisme, memupuk perpaduan serta menghayati nilai-nilai Malaysia MADANI ketika melaksanakan amanah kepada rakyat,” katanya, di sini semalam.
Program anjuran Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Terengganu di Pusat Koreksional Dungun itu turut berjaya menghimpunkan ketua jabatan dan wakil daripada pelbagai agensi kerajaan daerah Dungun.

Para peserta turut dibawa melawat sekitar Pusat Koreksional Dungun dan melihat sendiri pelaksanaan program pemulihan dan latihan kemahiran yang disediakan kepada penghuni.
Sementara itu, Pegawai Akademi Kenegaraan Malaysia Mohd Zuhairi Mohd Kamal memberi pendedahan berkaitan pemerkasaan jati diri, semangat cintakan negara dan tanggungjawab bersama dalam mempertahankan keamanan serta kedaulatan negara.
Selain sesi ceramah, peserta turut dibawa melawat sekitar Pusat Koreksional Dungun termasuk bengkel roti bagi melihat sendiri pelaksanaan program pemulihan dan latihan kemahiran yang disediakan kepada penghuni.
Inisiatif tersebut bertujuan membekalkan kemahiran serta meningkatkan keyakinan diri sebagai persediaan untuk kembali menjalani kehidupan bermasyarakat selepas tamat menjalani hukuman.
Program itu diharapkan dapat memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan serta melahirkan penjawat awam yang lebih berintegriti, berdaya saing dan sentiasa mengutamakan aspek keselamatan serta kepentingan negara dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat.
Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun Azila Hani Abd Aziz dan Pengarah MKN Negeri Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad.
-RI




