
Laporan/foto: Aifaa Syafiq (Bentong)
BENTONG, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 300 mualaf Orang Asli menerima sumbangan Inisiatif Makmur Pahang (IM) Kluster Mualaf bernilai RM200 seorang sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Perkampungan Orang Asli Hulu Pareh, di sini kelmarin.
Pada majlis sama, seramai 60 Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) turut menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebagai penghargaan atas komitmen dan jasa mereka dalam memperkukuh pembangunan komuniti Orang Asli di negeri ini.

Sebahagian masyarakat Orang Asli yang hadir.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri akan terus komited memperkasa kebajikan masyarakat Orang Asli, khususnya golongan saudara baharu, agar mereka tidak tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan negeri.
“Kita mahu memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada nikmat pembangunan negeri dan melalui penyaluran bantuan khas kewangan Insentif Makmur ini, kita berharap dapat menyuntik semangat baharu kepada masyarakat Orang Asli untuk terus berusaha meningkatkan taraf hidup dan memperkukuh ukhuwah sesama kita,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Menurut beliau, pelaksanaan Inisiatif Makmur Pahang Kluster Mualaf mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan saudara baharu terus diberi perhatian, di samping memperkukuh keharmonian serta kesejahteraan masyarakat.
Majlis turut menyaksikan seorang saudara baharu, Zul Singlop, 47, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Saudara Baharu Peringkat Negeri Pahang 2026.
-RI




