Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Penjawat Awam Perlu Junjung Tinggi Nilai Amanah, Integriti dan Akauntabiliti

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)

BALING, 16 Jul (MalaysiaAktif) – Setiap penjawat awam perlu sentiasa menjunjung tinggi nilai amanah, integriti dan akauntabiliti dalam melaksanakan tanggungjawab, kata Pegawai Daerah Baling merangkap Yang Dipertua Majlis Daerah Baling (MDB) Yazlan Sunardie Che Yahaya.

Beliau berkata agar penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan secara cekap, telus dan berkesan.

“Pembudayaan integriti perlu diterapkan secara berterusan dalam setiap lapisan organisasi kerana ia menjadi asas kepada pembentukan perkhidmatan awam yang diyakini, berwibawa dan bebas daripada amalan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perhimpunan Korporat serta Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pentadbiran Daerah Baling di Dewan Tunku Abdul Rahman, Majlis Daerah Baling, semalam.

Majlis dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu merupakan manifestasi iltizam MDB dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti, telus dan berakauntabiliti, di samping menolak sebarang bentuk rasuah serta salah guna kuasa dalam penyampaian perkhidmatan awam.

Majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Pentadbiran Baling oleh Tuan Pegawai Daerah Baling disaksikan Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Negeri Kedah.

Sementara itu, penjawat awam Pentadbiran Daerah Baling Mohd Faizal Ahmad, 42, berkata majlis berkenaan memberi suntikan semangat kepada seluruh warga kerja untuk terus menghayati nilai integriti dalam setiap tugasan.

“Ikrar yang dilafazkan hari ini bukan sekadar memenuhi satu acara rasmi, tetapi merupakan komitmen dan tanggungjawab yang perlu diterjemahkan melalui tindakan.

“Sebagai penjawat awam, kami memikul amanah rakyat dan akan terus berkhidmat dengan penuh kejujuran, integriti serta profesionalisme,” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Negeri Kedah Penolong Pesuruhjaya (PPj) Syed Aswadi Syed Soffian dan Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Pejabat Daerah Baling Mohd Afiq Md Saad

-RI

Tinggalkan komen anda