
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/KAP
IPOH, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Perak dan Pulau Pinang memperkukuh kerjasama strategik dalam sektor bekalan air apabila Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn. Bhd. (PAIP Perak) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) memeterai Perjanjian Bekalan Air Pukal (Bulk Water Supply Agreement/BWSA) di pejabat Gamuda Berhad, kelmarin.
Menerusi kenyataan Khazanah Air Perak Sdn. Bhd. (KAP), perjanjian itu mewujudkan kerangka kerjasama selama 40 tahun bermula dengan penyerahan pertama air terawat daripada sumber lebihan air mentah Skim Bekalan Air Utara Perak (Northern Perak Water Supply Scheme/NPWSS) kepada Pulau Pinang yang disasarkan pada suku pertama 2032.
Pengarah KAP, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata perjanjian tersebut membantu meningkatkan ekonomi dan pembangunan serta mengukuhkan kerjasama antara dua negeri.
“Pelaksanaan Perjanjian Bekalan Air Pukal ini menandakan satu langkah penting ke arah memajukan keutamaan ekonomi dan pembangunan jangka panjang Perak di samping menyokong kerjasama berterusan terhadap keselamatan air Pulau Pinang.
“Perjanjian ini telah distrukturkan dengan teliti untuk memastikan kepentingan jangka panjang Perak terus terpelihara sepenuhnya.
“Keperluan air bagi penduduk, industri dan sektor pertanian kami, termasuk permintaan masa depan hasil pembangunan daripada Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), akan terus diberi keutamaan pada setiap masa,” ujarnya menerusi kenyataan tersebut.
Menurut KAP, di bawah perjanjian itu, PAIP Perak akan bertindak sebagai pembekal air terawat kepada PBAPP yang merupakan syarikat utiliti air Pulau Pinang yang membeli bekalan air terawat tersebut.
“Di bawah rangka kerja komersial, PBAPP akan membayar Caj Kapasiti tahunan kira-kira RM210 juta untuk menjamin kapasiti rawatan dan pengedaran khusus.
“Caj Bekalan, bermula pada RM1.70 setiap meter padu, akan dikenakan ke atas air yang dibekalkan, disokong oleh mekanisme kenaikan berstruktur yang memberikan kepastian tarif jangka panjang.
“Perjanjian ini juga menggabungkan mekanisme pelarasan kos bagi kos elektrik dan bahan kimia untuk memastikan turun naik dalam kos operasi utama diuruskan secara telus,” menurut kenyataan itu.
Perjanjian BWSA itu dibina berdasarkan Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai pada 6 November tahun lalu, yang menggariskan terma komersial, tanggungjawab pengoperasian dan pengaturan bekalan jangka panjang bagi kerjasama air strategik antara kedua-dua negeri.
-AA-





