Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kursus Asas Perakaunan Perkasa Kemahiran Pengurusan Kewangan Usahawan

By 36 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Yusuf Ahmad (Tanjung Manis)

TANJUNG MANIS, 17 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 31 usahawan menyertai Kursus Asas Perakaunan dan Simpan Kira Perniagaan selama dua hari bagi meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan yang cekap, telus dan berdaya saing.

Program anjuran Mutiara Technologi Center Sdn. Bhd. yang berlangsung di Dewan IKS PUSAKA Tanjung Manis itu dikendalikan oleh penceramah Syed Bismit atau lebih dikenali sebagai Coach SB.

Menerusi kursus tersebut, peserta didedahkan dengan pengenalan asas simpan kira, penyediaan Prosedur Operasi Standard (SOP) kewangan, pengurusan dokumen, pengenalan kumpulan akaun, kaedah merekod transaksi serta penyediaan penyata kewangan.

Bagi peserta Rossitta Razak, 60, pendedahan itu memberi kefahaman lebih jelas mengenai kepentingan pengurusan kewangan tersusun dalam memastikan operasi perniagaan berjalan lancar.

“Ilmu yang dikongsikan sangat bermanfaat kerana saya kini lebih memahami cara mengurus rekod kewangan dengan lebih teratur, sekali gus membantu meningkatkan kecekapan dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta Erni Sa’adi, 49, menyifatkan kaedah merekod transaksi jualan dan belian secara sistematik dapat membantu usahawan menghasilkan laporan kewangan yang lebih tepat.

“Pengurusan kewangan yang baik bukan sahaja memudahkan pemantauan aliran tunai, malah membantu usahawan membuat perancangan perniagaan dengan lebih yakin,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, penganjuran kursus tersebut diharap dapat membudayakan amalan pengurusan kewangan sistematik dalam kalangan usahawan tempatan, sekali gus meningkatkan keupayaan mengembangkan perniagaan secara mampan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda