Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Stesen Bas Mini Pulau Pinang: Maklum Balas Positif, Pengguna Lebih Selesa

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhammad Zayed Barak (Daerah Timur Laut)

GEORGE TOWN, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membina secara berfasa 96 stesen bas mini di seluruh kawasan pulau menerima maklum balas positif daripada pengguna pengangkutan awam, sekali gus membuktikan inisiatif tersebut berjaya meningkatkan tahap keselesaan dan pengalaman perjalanan harian rakyat.

Inisiatif ini dilaksanakan bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan bas, khususnya di kawasan yang sebelum ini tidak mempunyai kemudahan hentian bas dan menggalakkan lebih ramai rakyat memilih pengangkutan awam sebagai mod perjalanan harian.

Pengguna harian bas awam Raj Kumar, 43, menyifatkan pembinaan stesen bas mini itu sebagai satu perubahan yang amat bermakna kepadanya.

Menurut beliau, kemudahan baharu tersebut bukan sahaja menyediakan tempat menunggu yang lebih selesa dan teratur, malah memberi perlindungan daripada cuaca panas dan hujan.

“Dulu kami terpaksa menunggu di tepi jalan tanpa tempat berteduh.

“Sekarang lebih selesa dan teratur, terutama ketika cuaca panas atau hujan,” katanya kepada wartawan Malaysia Aktif, di sini semalam.

Temu bual wartawan Malaysia Aktif (kiri) bersama beberapa orang pengguna perkhidmatan bas yang menunggu di Stesen Bas Mini Lebuh Chulia.

Lim Ah Seng, 66, amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri dan MBPP kerana cakna dengan keperluan rakyat.

“Pada usia saya, tempat menunggu yang berbumbung amat penting, saya boleh duduk dan menunggu bas dengan selesa tanpa risau tentang cuaca,” katanya.

Bagi Muhammad Amir Hakimi, 17, kemudahan ini mungkin nampak kecil bagi orang lain, tapi besar pada dirinya yang setiap hari menaiki bas ke sekolah.

“Saya harap agar pengguna lain dapat sama-sama menjaga kemudahan ini agar manfaatnya dapat dinikmati sebaik mungkin,” katanya.

Untuk rekod, pelaksanaan projek melibatkan pembinaan dua stesen pada tahun 2024, diikuti 20 stesen pada tahun 2025 dan 74 stesen pada tahun 2026, dengan keseluruhan kos berjumlah RM912,300.

Penyediaan kemudahan ini bukan sahaja menawarkan ruang menunggu yang lebih selesa dan selamat, malah menyokong aspirasi negeri untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap, inklusif dan mesra pengguna.

Dari aspek reka bentuk, stesen bas mini ini dibangunkan dengan konsep kompak, moden dan praktikal, menjadikannya sesuai dipasang di kawasan yang mempunyai ruang terhad tanpa menjejaskan aliran lalu lintas atau pergerakan pejalan kaki.

-RI

Tinggalkan komen anda