Skip to main content
Berita TempatanSabah

NTW 2026 Tawar Ribuan Kursus Percuma Kepada Rakyat

By 14 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Aziz Karim/Rafidawati Mohd Taip@Muktar (Sandakan)

SANDAKAN, 20 Jul (MalaysiaAktif)-Ribuan kursus peningkatan kemahiran akan ditawarkan secara percuma di seluruh negara sepanjang sambutan National Training Week (NTW) 2026 yang berlangsung hari ini sehingga 26 Julai.

Pengerusi Lembaga HRD Corp, Datuk Rusli Jaafar berkata pembelajaran sepanjang hayat kini menjadi keperluan bagi memastikan rakyat kekal relevan dalam dunia pekerjaan dan ekonomi yang semakin mencabar.

“ NTW adalah sebuah gerakan nasional yang menggalakkan rakyat terus menimba ilmu, meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan diri.

“Sepanjang minggu ini ribuan kursus ditawarkan secara percuma hasil kerjasama kerajaan, pihak industri, institusi latihan serta pelbagai rakan strategik bagi memperluaskan akses pembelajaran kepada rakyat.

“Sama ada pelajar, pekerja, usahawan mahupun pesara semua dialu-alukan menyertai NTW dan memanfaatkan peluang yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran National Training Week (NTW) 2026, barru-baru ini.

Menurutnya, bertemakan ‘Pelajari, Alami, Kuasai’, NTW 2026 membawa aspirasi melahirkan masyarakat yang sentiasa bersedia menambah ilmu dan menguasai kemahiran baharu bagi memenuhi keperluan masa depan.

“Setiap dasar, program dan pengurusan levi oleh HRD Corp dirangka selaras dengan agenda pembangunan modal insan negara.

“Pemilihan Sandakan sebagai lokasi pelancaran NTW 2026 membuktikan komitmen HRD Corp memastikan peluang latihan dan peningkatan kemahiran tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama, sebaliknya dapat dinikmati masyarakat di seluruh negara.

“Saya mengajak orang ramai mengunjungi setiap reruai pameran, berinteraksi dengan penyedia latihan dan mendapatkan maklumat mengenai kursus yang ditawarkan.

“Barangkali di sinilah bermulanya peluang untuk meningkatkan kerjaya, mengembangkan potensi diri atau meneroka bidang baharu yang sebelum ini tidak pernah diceburi,” ujarnya.

Turut diadakan penyampaian insentif kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari sekolah-sekolah sekitar daerah Sandakan yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda