Skip to main content
Berita TempatanSabah

1,200 Pelajar Terima Suntikan Motivasi SMJ

By 17 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Najib Juanis (Papar)

PAPAR, 20 Jul (MalaysiaAktif)-Seramai 1,200 pelajar sekolah menengah sekitar daerah Papar menerima suntikan motivasi menerusi Program Ceramah Motivasi SMJ @ Papar, yang turut menekankan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pendidikan anak Sabah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pendidikan kekal menjadi antara agenda utama pembangunan negeri dengan pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan lebih ramai pelajar mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.

“Sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, kerajaan negeri melaksanakan 14 inisiatif pendidikan dengan peruntukan keseluruhan RM210.25 juta sebagai pelaburan untuk membantu anak Sabah meneruskan pengajian.

“Peruntukan ini merupakan satu pelaburan besar bagi memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti serta bantuan yang diperlukan untuk meneruskan pengajian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Ceramah Motivasi SMJ @ Papar di Dewan Masyarakat Papar, yang dianjurkan Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), Jabatan Ketua Menteri Sabah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Papar.

Program berkenaan menghimpunkan pelajar Tingkatan Empat, Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam daripada sekolah menengah kebangsaan sekitar daerah Papar dalam usaha meningkatkan motivasi, keyakinan diri serta persediaan mereka menghadapi cabaran akademik dan perancangan masa depan.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar memaklumkan komitmen kerajaan negeri diteruskan menerusi Belanjawan Sabah 2026 apabila kesemua 14 inisiatif pendidikan dikekalkan, selain memperkenalkan Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU) sebanyak RM150 kepada pelajar prauniversiti yang layak.

“Perkembangan positif turut dicatat menerusi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) apabila peruntukannya meningkat daripada sekitar RM50 juta pada 2020 kepada RM145 juta pada 2025.

“Peningkatan itu membuktikan pelaburan dalam pendidikan diterjemahkan melalui tindakan berterusan bagi membuka lebih banyak peluang kepada pelajar Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, seramai 17,088 pelajar Sabah menerima manfaat daripada BKNS, sekali gus membantu mereka mengejar cita-cita dan membina masa depan lebih baik,” ujarnya.

Beliau berharap Program Ceramah Motivasi SMJ @ Papar dapat menjadi pemangkin kepada pelajar untuk meningkatkan prestasi akademik serta membina jati diri sebagai modal insan berdaya saing demi masa depan Sabah.

-RJ-

Tinggalkan komen anda