
Laporan/foto: Norhafiezah Abdul Aziz (Penampang)
PENAMPANG, 20 Jul (MalaysiaAktif)-Kampung Nosoob yang sebelum ini sering dikategorikan sebagai lokaliti berisiko wabak denggi kini merekodkan trend penurunan kes hasil tindakan proaktif dan kerjasama erat komuniti dalam usaha membendung penularan penyakit itu.
Pegawai Perubatan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Penampang, Dr. Mohamad Syakeel Mohamad Said berkata, perkembangan positif itu didorong oleh komitmen berterusan skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) Kampung Nosoob yang aktif melaksanakan program kesedaran dan pencegahan.
“Kampung Nosoob merupakan antara kawasan yang setiap tahun dilanda wabak denggi, namun trend kes kini semakin menurun hasil kerjasama erat daripada COMBI Kampung Nosoob.
“Saya berharap perkongsian menerusi program ini dapat dimanfaatkan masyarakat sekali gus meningkatkan lagi kesedaran terhadap bahaya denggi,” katanya ketika ditemui pada Program JIWA @ Komuniti MADANI: Sembang Santai Kampung Nosoob Bil. 1/2026, baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Nosoob itu memfokuskan kepada pemerkasaan kesihatan awam dengan memberi pendedahan kepada penduduk mengenai langkah pencegahan demam denggi serta usaha memerangi pembiakan nyamuk Aedes.
Salah seorang penduduk, Billy Jion, berkata program turun padang seperti itu memberi manfaat besar kepada masyarakat kerana meningkatkan pengetahuan mengenai langkah pencegahan awal di peringkat isi rumah.
“Program seperti ini sangat baik kerana kami mendapat maklumat penting untuk melindungi keluarga daripada denggi, selain mengambil tindakan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kawasan rumah masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata, pendedahan secara berterusan mampu memupuk kesedaran masyarakat supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran bagi mengurangkan risiko penularan penyakit.
Program itu merupakan hasil kerjasama PKD Penampang, NADI Nosoob dan skuad COMBI Kampung Nosoob dalam memperkukuh kesedaran komuniti terhadap pencegahan denggi.
Usaha bersepadu itu diharap dapat mengekalkan trend penurunan kes denggi di Kampung Nosoob serta menjadi contoh kepada komuniti lain dalam memerangi penyakit bawaan nyamuk Aedes.
-RJ-





