
Laporan/foto: Nik Faizul Nik Rahmat (Jeli)
JELI, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Hari Potensi KEMAS Daerah Jeli (Alpha Gen Talents@KEMAS) menjadi platform mencungkil bakat serta mengembangkan potensi murid Tabika KEMAS melalui aktiviti sukan dan permainan.
Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Daerah Jeli Che Rogayah Salleh berkata program berkenaan merupakan medium penting dalam membentuk perkembangan murid secara menyeluruh meliputi aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Aktiviti seperti ini memberi peluang kepada murid untuk menonjolkan bakat, membina keyakinan diri serta memupuk nilai disiplin dan kerjasama sejak awal usia,” katanya ketika merasmikan program di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Ayer Lanas, di sini semalam.
Beliau berkata kanak-kanak Tabika KEMAS merupakan aset negara yang perlu dibimbing melalui pendidikan awal berkualiti bagi melahirkan generasi berdaya saing.
Program yang bermula jam 8.30 pagi itu disertai puluhan murid bersama sokongan ibu bapa, guru serta masyarakat setempat.
Sementara itu, guru Tabika KEMAS Nor Haslaili Rosli, 32, berkata beliau gembira melihat keterujaan murid menyertai setiap aktiviti yang disediakan.
Pelbagai acara seperti bola sepak, bola jaring, balapan dan permainan berkumpulan dianjurkan bagi menguji ketangkasan, keberanian serta semangat kerjasama peserta.
Penganjuran program seperti ini diharap dapat diteruskan sebagai wadah melahirkan generasi muda yang aktif, berkeyakinan tinggi dan mempunyai jati diri kukuh selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
-RI




