
Laporan/foto: Ahmad Suhaimi Mokhtar (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Program JAPEN Arena Penggerak Komuniti (JAGO) @ Sembang Santai Edisi Piala Dunia FIFA 2026 dilihat berjaya menjadi platform terbaik dalam menyatukan komuniti setempat khususnya warga Lembah Pantai tanpa mengira latar belakang, kata Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Dato’ Seri Fahmi Fadzil
“Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengikut sukan bola sepak untuk berkumpul dan menikmati perlawanan dalam suasana yang santai, malahan ianya turut memainkan peranan penting dalam menyemarakkan lagi semangat perpaduan sedia ada,” ujarnya di program tersebut, di sini awal pagi semalam.
Kehangatan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 menghimpunkan peminat bola sepak daripada kalangan komuniti setempat di sekitar Lembah Pantai yang berlangsung di Pusat Penjaja Bazaria, Lembah Pantai.

Fahmi menyantuni masyarakat setempat yang hadir.
Sementara itu, salah seorang peminat bola sepak Nizam Manan, 49, berkata penganjuran program ini merupakan pengalaman pertama beliau menyaksikan siaran langsung perlawanan bola sepak menerusi siaran bergerak JAGO.
Beliau turut melahirkan rasa kagum dengan transformasi penyampaian maklumat kepada masyarakat pada masa kini.
“Dulu saya pernah menonton wayang pacak menggunakan layar besar, tapi kini ia telah diganti dengan lori berpentas selaras dengan kemajuan teknologi digital,” katanya.
Selain daripada tayangan skrin siaran langsung perlawanan akhir yang mempertemukan pasukan Argentina dan Sepanyol, program tersebut turut diselitkan dengan pelbagai pengisian bermanfaat antaranya Taklimat Perkongsian Naratif Isu Semasa, Kuiz Bola Sepak Piala Dunia, dan cabutan bertuah.
-RI




