Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Program Jom Berus Gigi Tingkat Kesedaran Penjagaan Kesihatan Pergigian

By 15 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zamri Mohamad (Miri)

MIRI, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Penganjuran Program Jom Berus Gigi yang mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan awam pelbagai agensi di Wisma Persekutuan Fasa 1 di sini menjadi platform mendidik masyarakat mengenai penjagaan kesihatan mulut.

Juruterapi Pergigian Unit Penjagaan Kesihatan Pergigian Masyarakat Miri Ikam Gasau berkata, program tersebut bertujuan membentuk kesedaran mengamalkan rutin memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari bagi mengurangkan risiko kerosakan gigi dan penyakit gusi.

“Objektif program ini adalah untuk menggalakkan masyarakat mengamalkan tabiat memberus gigi dengan betul demi kesihatan pergigian yang lebih baik,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan demonstrasi teknik memberus gigi yang betul, pertandingan interaktif serta pelbagai aktiviti pendidikan kesihatan yang dikendalikan oleh petugas.

Bagi peserta Nur Atiqah Abdullah, 46, program seumpama itu memberi pendedahan bermanfaat mengenai teknik penjagaan tepat bagi memastikan kesihatan gigi dan gusi sentiasa berada pada tahap terbaik.

“Amalan memberus gigi yang betul ialah dua kali sehari. Teknik memberus gigi juga sangat penting, iaitu secara perlahan menggunakan gerakan membulat pada semua permukaan gigi.

“Di samping itu, penggunaan ubat gigi yang mengandungi fluorida serta pemilihan berus gigi yang sesuai turut memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan gigi dan gusi sentiasa terpelihara,” jelasnya.

Secara keseluruhannya, penganjuran program itu diharap dapat membudayakan amalan memberus gigi selama dua minit, dua kali sehari sebagai rutin harian untuk melahirkan masyarakat yang lebih sihat serta menikmati senyuman berkualiti sepanjang hayat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda