
Laporan/foto: Nurdiyana Khairron Anuar/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Projek KitaSelangor Penyayang (KSP) Tahun 2026 perlu memberi impak sebenar kepada rakyat, memenuhi keperluan setempat, dilaksanakan mengikut jadual serta mematuhi aspek tadbir urus, integriti dan kualiti.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr. Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata Ahli Dewan Negeri, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Bandar, Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan, Pegawai Daerah serta agensi pelaksana perlu memastikan setiap projek dilaksanakan dengan baik, teratur dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurut beliau peruntukan RM14 juta bagi pelaksanaan KSP 2026 di 56 kawasan DUN mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
“Hasrat kerajaan negeri adalah supaya setiap peruntukan diterjemahkan kepada projek yang benar-benar diperlukan oleh komuniti setempat.

Sesi bergambar bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sempena Sesi Libat Urus Pelaksanaan KitaSelangor Penyayang (KSP) Tahun 2026.
“Kejayaan program ini tidak hanya diukur melalui jumlah projek yang disiapkan, tetapi melalui perubahan dan manfaat yang dapat dilihat serta dirasai oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Pelaksanaan Projek KSP Tahun 2026, di sini semalam.
KSP 2026 merupakan inisiatif utama di bawah Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diperkukuh melalui pelancaran platform pemantauan digital pada bulan hadapan untuk memastikan ketelusan dan kebajikan rakyat terus terbela.
Katanya, semua pihak perlu memberi keutamaan kepada keperluan sebenar masyarakat, impak yang menyeluruh, nilai untuk wang, kualiti pelaksanaan serta aspek kelestarian supaya kemudahan yang dibangunkan dapat digunakan dan dipelihara untuk jangka panjang.
Ahmad Fadzli turut mengingatkan tempoh pelaksanaan KSP 2026 yang lebih singkat dan perlu diselesaikan hanya dalam tempoh empat bulan.
“Semua agensi perlu terus menekan gear lima sejak awal. Sebarang isu hendaklah diselesaikan dengan segera supaya pelaksanaan dapat dimulakan pada 3 Ogos ini dan disempurnakan dalam tahun semasa,” katanya.
-RI




