
Laporan/foto: Hasnida Sarani (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Pemeliharaan alam sekitar merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak, kata Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim antara agensi dan masyarakat, malah menyemai rasa cinta terhadap flora, landskap dan biodiversiti.
“Semangat kebersamaan ini perlu terus dipupuk bagi memastikan kelestarian alam sekitar dapat diwarisi oleh generasi akan datang,” katanya pada Program Sepetang di Taman Orkid Bersama Yang Dipertua BAKRIYAH NS, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) Negeri Sembilan Datin Suriani Yahya, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Ir. Ts. Br. Mohd Kamal Mohd Yusof, barisan Jawatankuasa BAKRIYAH NS, Ahli Jawatankuasa PUSPANITA Negeri Sembilan serta ketua-ketua jabatan.

Wan Hasni bersama peserta program.
Beliau yang juga Yang Dipertua Badan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan (BAKRIYAH) Negeri Sembilan (NS) berkata BAKRIYAH NS menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama strategik antara MBS dan PUSPANITA Negeri Sembilan dalam usaha memupuk kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar.
Program yang berlangsung di Taman Orkid, Seremban itu turut memberi penekanan kepada usaha memelihara flora, landskap dan biodiversiti di samping menyokong aspirasi pembangunan bandar yang hijau, bersih, mampan dan berdaya huni.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban Dato’ Ir. Ts. Masri Baharuddin berkata MBS akan terus memperkasa inisiatif penghijauan bandar melalui pemeliharaan landskap dan biodiversiti sejajar dengan aspirasi menjadikan Seremban sebuah bandar raya yang bersih, mampan dan berdaya huni.
Program tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam menjayakan agenda pembangunan bandar yang lestari.
-RI




