
Laporan/foto: Mohamad Farid Izwan/Suut Mohamad Musa (Sarawak)
SIBU, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Warong Laipun di sini terus utuh mempertahankan warisan hidangan mi kampua halal sejak mula beroperasi 32 tahun lalu pada 22 Julai 1994.
Pengusahanya Rateman Saimi, 52, berkata perniagaan yang diasaskan oleh ibunya itu bermula dari dapur rumah dengan menjual mi kampua secara bungkus sebelum berkembang menjadi sebuah kedai makan hasil sokongan berterusan pelanggan tempatan.
Menurutnya, keunikan rasa mi kampua di warong tersebut terletak pada resipi asal yang dipelajari ibunya daripada seorang rakan berbangsa Cina bagi membolehkan masyarakat Islam menikmati hidangan tradisi Foochow itu.
“Dahulu ibu saya belajar membuat mi kampua daripada kawan berbangsa Cina. Beliau memulakan perniagaan dari rumah sahaja dengan menjual semangkuk mi kampua pada harga 50 sen,” katanya ketika ditemui, di sini.
Sebagai penerus legasi, Rateman menjelaskan perniagaan tersebut kini berkembang kukuh dan diuruskan secara bersama melibatkan ahli keluarga.
“Bisnes ini sudah menjadi bisnes keluarga. Kami adik-beradik dan ipar-duai sama-sama menguruskannya,” jelasnya.
Tambahnya, biarpun pelbagai pilihan menu baharu seperti masakan goreng, sup dan nasi ayam kini ditambah bagi memberi variasi kepada pelanggan, mi kampua tetap diangkat sebagai menu utama.
Meskipun perubahan zaman menyaksikan harga semangkuk mi kampua kini dijual pada RM5, beliau menegaskan cita rasa asal dan kualiti resipi warisan berkenaan tetap dipertahankan seperti hari pertama ia mula beroperasi.
-RJ-




