Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Budaya Keselamatan Perlu Dijadikan Amalan Harian, Bukan Sekadar Dipelajari

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nik Aula Nik Soh/Mohamad Amir Hamizan (Pasir Puteh)

PASIR PUTEH, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Budaya keselamatan perlu dijadikan amalan harian, bukan sekadar dipelajari di dalam bilik darjah, kata Pengarah Pendidikan Negeri Kelantan Norina Muhammad.

“Pendedahan awal mengenai pencegahan bahaya, tindakan ketika kecemasan dan kepekaan terhadap persekitaran mampu mengurangkan risiko kemalangan dalam kalangan murid,” katanya ketika merasmikan Kempen Keselamatan Murid Sekolah Menengah Daerah Pasir Puteh, di sini kelmarin.

Seramai 500 pelajar yang hadir di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai, diberi pendedahan tentang aspek keselamatan jalan raya, pencegahan jenayah, keselamatan kebakaran, pertolongan cemas, kesihatan, keselamatan siber serta literasi digital.

Penerangan peralatan penyelamatan di tempat tinggi.

Program bertemakan ‘Let’s Be Safe’ itu merupakan anjuran bersama Hibiscus Petroleum dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Penerangan Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Turut hadir Pengurus Keselamatan dan Kesejahteraan Pekerja dan Alam Sekitar (HSSE) Hibiscus Malaysia Ir. Mohd Azwani Abdul Rani, Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan Mazlan Yaacob,  Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Wan Azizi Wan Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Puteh Zulkifli Hamat dan Pengetua Abdul Aziz Abdul Hamid.

Kempen keselamatan murid ini diharap menjadi platform berterusan dalam membudayakan amalan keselamatan di sekolah, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berpengetahuan, berdisiplin dan bertanggungjawab terhadap keselamatan diri, komuniti serta persekitaran.

-RI

Tinggalkan komen anda