Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

200 Individu Sertai Program Derma Darah Peringkat Daerah Baling

By 11 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Firdaus Mahmud (Baling)

BALING, 22 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 200 individu menyertai Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Daerah Baling 2026 yang berlangsung Ahad lepas di Hospital Baling.

Pengarah Hospital Baling, Selvanayagam Shanmugamnathan berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menderma darah, selaras dengan slogan “Satu Beg Darah Mampu Menyelamatkan Tiga Nyawa.”

“Setiap titisan darah yang didermakan membawa harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan, sekali gus membuktikan bahawa amalan menderma darah merupakan satu tanggungjawab sosial yang amat bernilai.

“Keseluruhannya sebanyak 200 beg darah berjaya dikumpulkan menerusi program ini,” katanya kepada Malaysia Aktif.

Sementara itu, Ketua Jabatan Bahagian Patologi dan Unit Transfusi Darah Hospital Baling, Dr. Zulhilmi Ismail memaklumkan sasaran penyertaan seramai 200 penderma berjaya dicapai hasil kerjasama erat semua pihak.

Menurut beliau, kejayaan tersebut memberi impak positif dalam memastikan bekalan darah sentiasa tersedia bagi memenuhi keperluan rawatan pesakit di hospital.

Salah seorang penderma, Nurul Izzah Wamat, 37, berkata beliau telah menderma darah sebanyak 13 kali dan menjadikan amalan itu sebagai rutin setiap tiga bulan.

“Saya menderma darah bukan sahaja untuk membantu pesakit yang memerlukan, malah ia turut memberi manfaat kepada kesihatan diri,” katanya.

Program anjuran Hospital Baling itu disokong 44 rakan strategik terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

-FN

Tinggalkan komen anda