Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Manjung Berpotensi Jadi Hab Agromakanan Perak

By 6 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Andi Abd Rohim/Mohd Irsyad Abd. Majid (Manjung)

MANJUNG, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Manjung mempunyai potensi besar untuk berkembang sebagai hab agromakanan selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak, Ts. Norsiyenti Othman berkata pembangunan projek strategik seperti Perak Halal Industrial Park di Lekir akan memperkukuh kedudukan Manjung sebagai antara daerah yang menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

“…menerusi pembangunan industri makanan dan pertanian yang lebih berdaya saing.

“Sektor pertanian terus memainkan peranan penting sebagai pemacu ekonomi serta tunjang kepada keterjaminan makanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Dato’ Mohd Zolkafly Harun pada majlis perasmian Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Manjung 2026 di Pusat Pertanian Lekir, di sini semalam.

Karnival Agro Jabatan Pertanian Daerah Manjung memberi peluang kepada usahawan makanan Norhayati Abdullah mengenali pelbagai teknologi dan inisiatif kerajaan.

Program itu menghimpunkan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi membuka peluang kepada pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan teknologi pertanian, khidmat nasihat serta peluang pemasaran produk tempatan.

Selain pameran daripada pelbagai jabatan dan agensi, pengunjung turut berpeluang menyertai aktiviti interaktif seperti demonstrasi cantuman durian, rawatan pemulihan tanah, pertandingan memancing ikan serta pertandingan gubahan bunga kantan.

Sementara itu, usahawan makanan tradisional Norhayati Abdullah, 58, berkata penganjuran karnival seumpama itu memberi peluang kepada usahawan memperluaskan rangkaian perniagaan di samping mendekatkan masyarakat dengan sektor pertanian.

Beliau berkata program yang sebelum ini dikenali sebagai Hari Ladang itu sentiasa dinantikan kerana menghimpunkan usahawan tani, agensi kerajaan dan orang ramai dalam satu platform bagi membolehkan perkongsian ilmu, teknologi serta peluang perniagaan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Karnival seperti ini bukan sahaja membantu usahawan mempromosikan produk, malah memberi peluang kepada masyarakat mengenali pelbagai teknologi dan inisiatif kerajaan dalam memajukan sektor pertanian,” katanya.

Penganjuran karnival itu membuktikan komitmen Jabatan Pertanian dalam memperkasakan sektor agromakanan melalui pendekatan yang lebih inklusif dan berdaya saing bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani yang berdaya maju.

-FN

Tinggalkan komen anda