
Laporan/foto: Saberiya Patiroi/Sukarni Asun (Beaufort)
BEAUFORT, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Pembentukan adab dan pengukuhan institusi keluarga perlu menjadi benteng utama dalam membendung gejala sosial serta melindungi remaja daripada ancaman jenayah siber yang semakin kompleks.
Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Papar ASP Andi Abdul Kinu berkata didikan yang bermula di rumah dan diperkukuhkan di sekolah mampu membentuk sahsiah pelajar agar lebih berdisiplin, berintegriti serta mampu membuat keputusan yang bijak.
“Remaja yang dibimbing dengan nilai hormat-menghormati, bertanggungjawab dan berdisiplin lebih berupaya menjauhi gejala sosial, amalan buli serta pelbagai bentuk salah laku yang bercanggah dengan undang-undang dan norma masyarakat.
“Pada masa yang sama, masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab sepenuhnya kepada guru sekiranya berlaku salah laku pelajar kerana pembentukan sahsiah dan adab merupakan tanggungjawab bersama yang bermula daripada institusi keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Jiwa@Kelab Malaysiaku Sekolah Menengah Kebangsaan Kimanis yang dihadiri seramai 480 orang pelajar sekolah itu, di sini semalam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Cawangan Keningau, Syahfierah Sukor berkata penggunaan Internet dan media sosial yang semakin meluas turut meningkatkan risiko pelajar menjadi mangsa penipuan dalam talian, buli siber, kecurian identiti, penyebaran maklumat palsu serta eksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Juteru, pelajar diseru supaya menggunakan Internet secara bijak dan berhemah bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian serta pelbagai bentuk jenayah siber yang semakin berleluasa
“Selain itu, dapat melindungi pelajar daripada menjadi mangsa jenayah siber dan melahirkan generasi celik digital yang bertanggungjawab serta menggunakan teknologi untuk tujuan pembelajaran, pembangunan diri dan perkara yang memberi manfaat,” katanya.
-RJ-




