Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Aktiviti Kesukarelawanan Belia Bentuk Generasi Bertanggungjawab, Prihatin

By 2 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)

MUKAH, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Penglibatan aktif golongan belia dalam aktiviti kesukarelawanan bukan sahaja berupaya membentuk generasi yang bertanggungjawab, malah menyemai nilai murni seperti kerjasama, toleransi dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata pendekatan turun padang secara berterusan penting bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian, selain mengenal pasti keperluan komuniti untuk tindakan susulan.

Beliau yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Tellian berkata inisiatif itu merupakan platform terbaik untuk mendekati masyarakat akar umbi dan mengeratkan hubungan pelbagai pihak menerusi aktiviti kemasyarakatan.

“Program (Jelajah SABERKAS Prihatin Sarawak) bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi menjadi wadah mengeratkan silaturahim antara ahli dan masyarakat setempat.

“Pada masa sama, ia memberi peluang kepada SABERKAS memahami keperluan komuniti secara lebih dekat serta menyampaikan bantuan dan sokongan yang bersesuaian,” katanya pada Program Jelajah SABERKAS Prihatin Sarawak Zon Mukah di Kampung Penat dan Kampung Judan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Royston menegaskan pertubuhan itu sentiasa komited melaksanakan program berteraskan komuniti merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, pembangunan belia dan kesejahteraan sosial bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

Sementara itu, program jelajah berkenaan turut menjadi platform strategik bagi mengukuhkan kerjasama antara SABERKAS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat serta sukarelawan.

Penyertaan bersepadu pelbagai pihak itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas jaringan kerjasama dan memperkasa budaya sukarelawan ke arah pembangunan komuniti yang lebih inklusif serta mampan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda