Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Belia Perlu Jadi Pencipta Kandungan Beretika

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Muhammad Abdul Hadi (Kuala Kangsar)

KUALA KANGSAR, 24 Jul (MalaysiaAktif) – Era digital kini menuntut generasi muda untuk tidak sekadar menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu berperanan sebagai pencipta kandungan serta komunikator yang beretika dan berwibawa.

Pengarah Program Karnival Komunikasi dan Digital Belia Negeri Perak 2026, Muhammad Kamal Syukri Kamaruddin berkata, sehubungan itu, program berkenaan dirancang khas bagi memperkasa belia dengan kemahiran literasi digital dan komunikasi berimpak tinggi.

“Langkah ini sekali gus dapat meningkatkan kebolehpasaran serta daya saing mereka dalam mendepani cabaran masa hadapan,” katanya ketika ditemui pada karnival berkenaan di Kolej Vokasional Kuala Kangsar (KVKK), di sini kelmarin.

Karnival itu diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya Kejohanan Tertutup e-Sukan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), slot perkongsian Teknik Komunikasi Berkesan, pameran agensi serta Podcast ApeKaboBelia bertajuk ‘Belia Perak Makmur Sejahtera, Nikmat Dirasa 2030’.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademik KVKK, Anizah Abdul Rahman berkata, KVKK selaku institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sentiasa komited melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta menyokong penuh penganjuran program seumpama itu.

Beliau menegaskan bahawa proses pembelajaran masa kini tidak lagi terhad di dalam bilik darjah semata-mata, sebaliknya belia perlu celik digital dan beretika dalam berkomunikasi.

“Kolaborasi antara penganjur, agensi kerajaan dan institusi pendidikan seperti ini terbukti mampu melahirkan belia Perak yang berkualiti, berkeyakinan dan berdaya saing,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda